Bang Mat Bidas Pihak Lawan Tunggang Isu DAP Demi Undi

SENAWANG: Taktik pihak lawan yang kerap memainkan isu DAP disifatkan sebagai isu buatan (artificial) dan propaganda bermusim yang sengaja dicipta bertujuan mengaut sokongan pengundi Melayu menjelang pilihan raya.

​Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, retorik sentimen perkauman itu tidak mencerminkan realiti sebenar hubungan serta kerjasama utuh yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan.

​Beliau menyelar sikap talam dua muka pihak lawan yang sering melempar tohmahan ke atas DAP mengikut kepentingan politik kawasan bertanding.

​”DAP di Negeri Sembilan mereka kata jahat, di Johor kata jahat, tetapi di Perak dan Pahang mereka boleh pula bekerjasama dan kata baik. Ini bermakna isu DAP ini bukan isu realiti, sebaliknya isu artificial yang dicipta semata-mata untuk mengaut undi.

​”Rakyat sudah meluat mendengar isu bermusim ini. Kita mesti halang politik sebegini daripada terus berkembang di negara ini,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, malam tadi.

​Pada masa sama, Mohamad memberi jaminan bahawa sebarang kelemahan atau kejutan strategi politik yang pernah berlaku di tempat lain seperti di Johor tidak akan berulang di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

​Beliau menegaskan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri kekal terjamin di samping memacu perkembangan ekonomi rakyat.

​”Kita harap kestabilan di Negeri Sembilan ini terus dipelihara dan jangan ada pihak lain mengambil peluang. Yang penting, pimpinan sedia ada kekal untuk memimpin dan mentadbir Negeri Sembilan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles