SENAWANG: Parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan sentiasa utuh dan setia demi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan ekonomi rakyat terus terpelihara, tegas Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menggunakan perumpamaan bahtera rumah tangga, Mohamad menyelar tindakan pihak lawan yang kerap menukar pendirian politik dan mengganggu keharmonian gabungan sedia ada demi kepentingan kuasa semata-mata.
Menurut beliau, pihak lawan diibaratkan seperti ‘pasangan’ yang sering berkahwin dan bercerai dengan pelbagai pihak sebelum ini, namun kini cuba meraih perhatian pihak lain.
”Yang diintai itu lelaki yang pernah kawin-cerai banyak kali… Dulu berkahwin, bercerai. Berkahwin dengan pihak lain, bercerai lagi. Sekarang gigih mengorat dan mengintai pihak lain pula.
”Sebaliknya, pakatan kami kekal setia – AMANAH, Keadilan (PKR), dan DAP. Kita tetap setia, bekerja bersama, dan apa pun yang berlaku, kita akan terus berusaha memimpin dan mempertahankan keharmonian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan di Senawang, di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas mengenai senario politik semasa, Mohamad turut memberi jaminan bahawa sebarang kelemahan atau kejutan strategi politik yang pernah berlaku di tempat lain seperti di Johor tidak akan berulang di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.
Beliau menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan bagi memastikan pentadbiran negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal stabil dan memacu ekonomi secara berterusan.










