Anwar Gesa Rakyat Ampangan Pilih Kerajaan Stabil

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Ampangan memilih kerajaan yang stabil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan dengan sokongan penuh Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan merupakan faktor penting dalam memastikan pelbagai projek pembangunan dan program kebajikan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan politik.

“Saya cuma minta kerjasama rakan-rakan supaya politik kita stabil. Persekutuan dan negeri bergerak sehala, satu hala dan satu tujuan.

“Kita mahu mengelakkan penyelewengan serta menjaga kepentingan rakyat. Itu yang sedang kita usahakan,” katanya ketika berucap pada program santai bersama penduduk Ampangan di Medan Selera Ampangan di sini, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, setiap kerajaan mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun begitu, rakyat perlu menilai kesungguhan sesebuah pentadbiran dalam menangani dan menyelesaikan masalah mereka.

Beliau berharap pengundi dapat membuat pilihan terbaik demi menjamin kesinambungan pembangunan Negeri Sembilan.

“Saya minta rakyat membuat pilihan yang baik supaya kerajaan negeri dapat terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa pemilihan wakil rakyat bukan sekadar berdasarkan sentimen politik, sebaliknya perlu mengambil kira integriti, keupayaan dan komitmen seseorang pemimpin.

“Pilihlah orang yang ada maruah dan mahu bekerja untuk semua kaum.

“Insya-Allah, masa depan negara dan negeri akan menjadi lebih baik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles