Nazri Optimis Pertahan Ampangan, Fokus Isu Penyelengaraan Dan Mitigasi Banjir

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Muhammad Nazri Kassim, optimis dengan penerimaan pengundi sepanjang tempoh awal kempen, sambil menyifatkan rekod perkhidmatan sebelum ini menjadi antara faktor yang mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap beliau.

Nazri berkata, maklum balas yang diterima daripada pengundi setakat ini adalah positif, namun beliau menegaskan kempen akan terus diperkasakan menerusi pendekatan turun padang dan bertemu pengundi secara langsung.

“Saya fikir respons agak positif dan meyakinkan. Rekod perkhidmatan kita sebelum ini memberi kesan yang baik walaupun ada kelemahan yang akan kita perbaiki sebagai satu pasukan.

“Kebetulan saya anak Ampangan dan membesar di sini. Alhamdulillah, keluarga kami juga berpeluang berkhidmat kepada ramai warga Ampangan. Setakat ini kedudukan kempen agak baik, tetapi kerja keras perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Santai Petang Bersama Warga Ampangan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas persaingan dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Nazri berkata beliau melihat pertandingan tersebut sebagai persaingan sihat dan memilih untuk memberi tumpuan kepada kempen berteraskan rekod perkhidmatan serta kekuatan jentera PH.

Menurutnya, PH akan meneruskan kempen secara positif tanpa menyerang pihak lawan, sebaliknya memberi fokus kepada usaha meyakinkan pengundi mengenai kemampuan gabungan itu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau berkata pendekatan kempen kali ini lebih menjurus kepada aktiviti menyantuni rakyat dari rumah ke rumah berbanding penganjuran ceramah berskala besar.

“Jadual harian memang penuh. Kami bergerak dari rumah ke rumah, surau ke masjid, kuil dan rumah ibadat lain untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

“Pertandingan kali ini lebih kepada orang ke orang dan pengundi ke pengundi,” katanya.

Menyentuh perancangannya sekiranya diberi mandat semula, Nazri berkata keutamaan akan diberikan kepada aspek penyelenggaraan infrastruktur asas memandangkan Ampangan merupakan kawasan yang sudah matang dari segi pembangunan.

Beliau berkata penyelenggaraan jalan, longkang, parit, sungai serta pengurusan kutipan sampah perlu dilaksanakan secara lebih sistematik dan berterusan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Selain itu, beliau turut merancang memperkasa landskap dan kemudahan rekreasi di sepanjang jajaran sungai yang telah dibangunkan menerusi projek Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kawasan tersebut berpotensi dijadikan lokasi riadah yang lebih lengkap termasuk menyediakan ruang bagi aktiviti rekreasi dan peluang perniagaan kecil berkaitan makanan serta minuman.

Mengulas isu yang paling kerap dibangkitkan pengundi, Nazri berkata kebimbangan terhadap risiko banjir masih menjadi antara aduan utama penduduk.

Menurut beliau, penduduk mahu kerja-kerja penyelenggaraan sungai diteruskan secara berkala bagi mengelakkan kejadian banjir berulang.

Beliau turut mengakui terdapat masalah sistem saliran di beberapa kawasan, termasuk Kampung Ismail, yang memerlukan tindakan pembaikan.

“Di Kampung Ismail misalnya, terdapat jajaran longkang yang tidak mempunyai kecerunan yang betul sehingga menyebabkan air bertakung.

“Keadaan itu perlu diperbaiki supaya aliran air lebih lancar dan masalah banjir dapat dikurangkan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles