Ahli Kongres AS Mahu Hubungan Dengan Malaysia Disemak Susulan Isu Warga Israel-Network School

KUALA LUMPUR: Seramai lapan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menggesa pentadbiran Washington menyemak semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia, termasuk mempertimbangkan penggantungan pembiayaan latihan ketenteraan, susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tindakan terhadap warga Israel yang berada di negara ini.

Dalam surat bertarikh 21 Julai kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, kumpulan ahli Dewan Perwakilan daripada Parti Demokrat yang diketuai Greg Landsman mendakwa pendirian Malaysia terhadap Israel serta kenyataan Anwar berhubung pengusiran warga negara itu menimbulkan kebimbangan serius.

Menurut mereka, kenyataan bahawa rakyat Israel yang ditemui di Malaysia akan dihantar pulang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi melibatkan sebuah negara yang dianggap sekutu rapat Amerika Syarikat.

“Adalah sama sekali tidak boleh diterima apabila seorang ketua kerajaan secara terbuka menyatakan bahawa negaranya akan memburu dan mengusir rakyat sebuah negara sekutu rapat kami hanya berdasarkan kewarganegaraan mereka. Perkara ini tidak sepatutnya dibiayai oleh pembayar cukai Amerika,” menurut kandungan surat berkenaan.

Surat itu turut ditandatangani Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Selain menggesa semakan semula hubungan dua hala, mereka turut meminta Jabatan Negara AS menilai semula bantuan keselamatan yang disalurkan kepada Malaysia, termasuk program International Military Education and Training (IMET) yang membiayai latihan profesional anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam surat sama, kumpulan ahli Kongres itu turut mengulangi dakwaan bahawa anggota Hamas pernah menerima latihan di Malaysia berdasarkan laporan sebuah institut penyelidikan antikeganasan Israel, selain menuduh Putrajaya mengamalkan dasar yang memihak kepada kumpulan berkenaan sambil menyasarkan warga Israel.

Mereka berkata, Washington perlu menggunakan pengaruh diplomatiknya bagi memberi isyarat jelas kepada kerajaan Malaysia bahawa bantuan serta kerjasama yang diberikan perlu disertai komitmen untuk tidak mengambil tindakan terhadap rakyat negara sekutu AS.

Malah, mereka menggesa Jabatan Negara AS menggantung pembiayaan IMET sekiranya dasar yang didakwa itu tidak dibatalkan dalam tempoh 15 hari.

“Dengan pengaruh diplomatik yang ada, kami percaya AS perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya bahawa bantuan serta sokongan yang diberikan datang bersama harapan agar mereka tidak menyasarkan rakyat sebuah negara sekutu rapat kami,” menurut surat itu.

Isu berkenaan tercetus selepas Anwar dilaporkan berkata rakyat Israel yang memasuki Malaysia akan dihantar pulang, susulan dakwaan terdapat warga Israel menggunakan pasport negara lain untuk menyertai komuniti digital nomad, Network School, di Forest City, Johor.

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pemegang pasport negara itu secara amnya tidak dibenarkan memasuki Malaysia tanpa kelulusan khas.

Bagaimanapun, Jabatan Imigresen minggu lalu memaklumkan hasil pemeriksaan di Network School mendapati kesemua 256 warga asing yang berada di lokasi berkenaan memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Sehingga kini, Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung gesaan yang dikemukakan oleh ahli-ahli Kongres AS itu.

BBerkaitan

Latest articles