SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendedahkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal gagal dilaksanakan sebelum ini selepas ditolak UMNO ketika menjadi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut beliau, cadangan berkenaan merupakan antara komitmen utama yang terkandung dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun tidak dapat diterjemahkan kepada pindaan undang-undang kerana gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga di DUN.
“Sepanjang mentadbir, kami telah membuktikan rekod pentadbiran kami, kecuali perkara yang melibatkan pindaan undang-undang yang tidak dapat diluluskan di DUN.
“Contohnya cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal, ia ditolak lebih awal oleh UMNO ketika itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Manifesto Harapan Negeri Sembilan, di sini, malam tadi.
Untuk rekod, cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri merupakan antara agenda reformasi institusi yang diperkenalkan PH sejak 2018 bagi mengelakkan pemusatan kuasa serta memperkukuh ketelusan dalam pentadbiran.
Di Negeri Sembilan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada Disember 2020 telah memberikan persetujuan dasar terhadap cadangan tersebut sebelum mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri menyediakan draf pindaan Perlembagaan Negeri.
Bagaimanapun, pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keseluruhan 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Pada penggal lalu, PH hanya menguasai 20 kerusi DUN, manakala 16 kerusi lagi dimiliki Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO sebagai blok pembangkang. Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri gagal memperoleh sokongan mencukupi untuk meluluskan pindaan berkenaan.
Sementara itu, Aminuddin turut menolak dakwaan bahawa manifesto PH sekadar janji politik yang tidak ditunaikan.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, sebahagian besar tawaran yang dikemukakan pada pilihan raya sebelum ini telah berjaya dilaksanakan sepanjang lapan tahun pentadbiran PH di Negeri Sembilan.
Katanya, manifesto baharu yang dilancarkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dirangka secara lebih menyeluruh, realistik dan berteraskan keperluan semasa rakyat.
“Manifesto ini lebih komprehensif, dinamik dan berpijak di bumi nyata bagi memastikan kesinambungan kemakmuran ekonomi serta kebajikan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara,” katanya.










