‘Kasi Monang!’ – Akmal Sifatkan PRN Negeri Sembilan Medan Pertama Kerjasama BN-PAS Tawan Negeri

MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai pentas pertama kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam usaha menamatkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kerjasama yang terjalin bukan sekadar strategi menghadapi pilihan raya, malah menjadi permulaan kepada agenda penyatuan ummah yang sekian lama diimpikan.

Menurutnya, seluruh jentera akan bekerja sehabis baik bagi memastikan BN dan PAS berjaya merampas semula pentadbiran Negeri Sembilan daripada PH.

“Insya-Allah, kita akan berusaha sehabis baik untuk merampas kembali Negeri Sembilan.

“Ini masa yang kita tunggu. Kita buktikan penyatuan ini mampu menggegar mereka. Kasi monang,” katanya menerusi hantaran di media sosial, pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan bukanlah satu perjanjian rasmi, sebaliknya berbentuk persefahaman strategik bagi menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata, pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan peluang gabungan berkenaan untuk mengambil alih pentadbiran negeri, dengan BN bertanding di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PN bertanding di baki 11 kerusi.

Pandangan itu turut disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menjelaskan persefahaman tersebut dirangka bagi memaksimumkan peluang BN dan PN menewaskan PH yang kini menerajui kerajaan Negeri Sembilan.

Katanya, matlamat utama kerjasama berkenaan adalah untuk merampas semula pentadbiran negeri daripada PH menerusi pembahagian kerusi yang dipersetujui kedua-dua pihak.

PRN Negeri Sembilan ke-16 akan berlangsung pada 1 Ogos ini selepas proses penamaan calon selesai pada Sabtu, dengan kesemua 36 kerusi DUN dipertandingkan.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, PH membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 17 kerusi DUN, diikuti BN dengan 14 kerusi, manakala PN memperoleh lima kerusi.

BBerkaitan

Latest articles