SEREMBAN: Pengundi Seri Menanti yang menetap dan bekerja di luar kawasan disifatkan semakin matang dalam membuat keputusan apabila memilih calon yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat, khususnya demi memastikan kebajikan ibu bapa mereka di kampung terus terbela.
Calon Bersatu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Datuk Megat D Shahriman Megat Zulkifli berkata, golongan itu tidak lagi mudah dipengaruhi janji-janji pilihan raya, sebaliknya akan menilai rekod perkhidmatan seseorang calon sebelum membuat pilihan.
Menurutnya, walaupun menetap di luar, mereka tetap mahu memastikan ibu bapa dan keluarga di Seri Menanti mendapat pembelaan daripada wakil rakyat yang benar-benar bekerja.
“Mereka kerja di luar, tetapi mereka mahu seorang calon yang boleh menjaga kebajikan keluarga serta mak ayah mereka di Seri Menanti.
“Mereka bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja. Kalau ada calon yang hanya pandai berjanji ketika pilihan raya tetapi perkhidmatannya tidak memuaskan selepas menang, itu yang mereka tidak mahu,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hari ini.
Megat Shahriman berkata, beliau tidak memfokuskan kempen kepada satu kelompok pengundi sahaja, sebaliknya memberi perhatian sama rata kepada pengundi muda, penduduk tempatan serta pengundi luar.
Mengulas perancangannya sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada usaha menambah baik infrastruktur yang menyokong gaya hidup sihat, selain melengkapkan kemudahan asas yang diperlukan penduduk.
Menurutnya, kemudahan harian seperti bank dan stesen minyak perlu dipertingkatkan bagi memudahkan urusan rakyat.
“Kita mahu melihat infrastruktur yang lebih baik untuk menyokong gaya hidup sihat. Selain itu, kemudahan asas seperti bank dan stesen minyak juga perlu diberi perhatian kerana itulah yang rakyat gunakan setiap hari,” katanya.
Mengulas peluang Bersatu di kerusi Seri Menanti, Megat Shahriman berkata beliau enggan terlalu yakin, sebaliknya memilih untuk terus bekerja dan mendekati rakyat sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, beliau sentiasa mengingatkan jentera supaya memberikan komitmen sepenuhnya kepada pengundi, bukannya hanya turun padang ketika musim pilihan raya.
“Saya juga walak dan taat kepada parti, tetapi parti saya tidak mengajar supaya mengutamakan parti melebihi rakyat. Parti saya mengajar bahawa kita dipilih untuk bekerja dan berkhidmat kepada rakyat terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut mengajak pengundi Seri Menanti memilih calon yang mampu memikul amanah dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya sekadar menabur janji.
“Saya tidak janji macam-macam, tetapi saya akan usaha macam-macam untuk rakyat Seri Menanti,” katanya.
Selain Megat Shahriman, kerusi DUN Seri Menanti turut ditandingi oleh penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi dan Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa dari Pakatan Harapan (PH).
Pada PRN Negeri Sembilan pada 2023 yang lalu, Muhammad Sufian Maradzi menang kerusi berkenaan dengan majoriti 370 undi.










