SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mempertaruhkan barisan kepimpinan utamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengetuai usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang menjadi kubu kuat gabungan itu.
Majlis pelancaran jentera dan pengumuman calon BN yang berlangsung di Stadium Paroi, malam tadi, berlangsung dalam suasana penuh semangat apabila lebih 5,000 penyokong serta jentera parti membanjiri lokasi, sekali gus menzahirkan kesiapsiagaan BN menghadapi medan pilihan raya.
Namun, perhatian utama PRN kali ini dijangka tertumpu kepada DUN Linggi yang bakal menyaksikan pertembungan berprofil tinggi antara penyandang BN, Datuk Mohd Faizal Ramli dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Faizal sekali lagi diberi kepercayaan mempertahankan kerusi berkenaan, manakala Aminuddin mencetuskan kejutan apabila meninggalkan DUN Sikamat yang diwakilinya sejak 2008 untuk bertanding di Linggi dalam usaha merampas kerusi itu daripada BN.
Pertembungan tersebut dijangka menjadi antara persaingan paling sengit pada PRN Negeri Sembilan memandangkan kedua-dua calon mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik negeri.
Sementara itu, Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, senarai calon yang diumumkan menggabungkan pengalaman pemimpin sedia ada dengan suntikan muka baharu bagi menawarkan barisan kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan mampu memenuhi aspirasi rakyat.
Beliau berkata, pemilihan calon dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk penerimaan rakyat, rekod perkhidmatan serta keupayaan membawa kemenangan kepada BN.
Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh jentera parti supaya menjadikan semangat yang dipamerkan pada majlis pelancaran itu sebagai pemangkin untuk memperhebat gerak kerja di setiap kawasan, sekali gus memastikan BN mampu mencapai kemenangan pada hari pengundian nanti.










