SEREMBAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa prestasi ekonomi Negeri Sembilan semakin ketinggalan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu mencatat pertumbuhan di bawah kadar purata nasional, sekali gus menegaskan Barisan Nasional (BN) perlu diberi mandat untuk memulihkan keadaan.
Menurut beliau, KDNK Negeri Sembilan bagi tahun 2024 hanya berkembang sebanyak 4.6 peratus berbanding purata nasional 5.2 peratus, manakala Johor mencatat pertumbuhan ekonomi jauh lebih tinggi iaitu lapan peratus.
“KDNK Negeri Sembilan cuma 4.6 peratus, bermakna ia berada di bawah purata negara. Jika dibandingkan dengan Johor, walaupun purata nasional 5.2 peratus, Johor telah mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan di Stadium Paroi, di sini, malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, pencapaian ekonomi sesebuah negeri tidak boleh dipisahkan daripada faktor kestabilan politik dan kecekapan pentadbiran, sambil menegaskan kedua-duanya merupakan asas penting bagi menarik pelaburan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, rakyat kini tidak lagi mahu disajikan dengan konflik politik yang berpanjangan, sebaliknya mengharapkan sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
“Anak muda mahukan peluang pekerjaan dan masa depan yang lebih baik. Ibu bapa pula mahukan pendidikan terbaik untuk anak-anak, manakala peniaga kecil dan penduduk luar bandar memerlukan lebih banyak peluang perniagaan, infrastruktur yang baik serta pembelaan daripada kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh jentera BN supaya memperhebat gerak kerja bagi meyakinkan rakyat bahawa gabungan itu mempunyai pelan yang jelas untuk memulihkan ekonomi Negeri Sembilan serta mengembalikan negeri berkenaan ke landasan pertumbuhan yang lebih kukuh.
Beliau turut menegaskan bahawa PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pertandingan politik, sebaliknya peluang untuk rakyat memilih sebuah kerajaan yang mampu memacu pembangunan ekonomi dan menjamin masa depan negeri.










