Zahid Mahu ‘Gelombang Biru’ Negeri Sembilan Lebih Gagah Dari Johor

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) menyasarkan kebangkitan lebih besar di Negeri Sembilan apabila mahu momentum kemenangan besar yang diraih di Johor diterjemahkan kepada keputusan lebih cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan luar biasa gabungan itu di Johor membuktikan rakyat semakin yakin terhadap kepimpinan yang mampu menjamin kestabilan politik serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Menurut beliau, kemenangan BN di Johor dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain memperoleh hampir 60 peratus undi popular, menjadi bukti jelas bahawa rakyat memilih sebuah kerajaan yang stabil dan berprestasi.

“Insya-Allah, gelombang biru di Negeri Sembilan akan menjadi sama hebat atau lebih hebat daripada apa yang berlaku di Johor. Kita bawa semangat gelombang biru itu ke Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan di Stadium Paroi, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kemenangan besar di Johor bukan sekadar kejayaan politik BN, sebaliknya mencerminkan pilihan rakyat yang mengutamakan kestabilan berbanding ketidaktentuan politik.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh rakyat Johor menghantar mesej jelas kepada seluruh negara bahawa kestabilan merupakan asas penting dalam membina kemajuan dan kesejahteraan.

Beliau berkata, rakyat kini semakin bijak menilai prestasi sesebuah kerajaan dan mahukan pentadbiran yang mempunyai rekod pencapaian, bukannya hanya pandai menyalahkan pihak lain apabila berdepan kegagalan.

Katanya, aspirasi sama turut dikongsi rakyat Negeri Sembilan yang mahukan kerajaan mampu meningkatkan ekonomi negeri, menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menjamin masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

“Semua itu hanya dapat direalisasikan melalui sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai hala tuju yang jelas,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan seluruh kepimpinan dan jentera BN Negeri Sembilan supaya mengetepikan sebarang perbezaan serta memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan kemenangan pada hari pengundian, 1 Ogos ini.

“Maruah parti menjadi taruhan. Kemenangan hanya akan menjadi milik mereka yang sanggup berjuang, berkorban dan kekal istiqamah sehingga ke garisan penamat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles