SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan secara rasmi melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) dengan meletakkan sasaran untuk merampas semula pentadbiran negeri, sambil menyifatkan gabungan itu kini berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya menghadapi saingan.
Timbalan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seluruh jentera parti perlu bergerak sebagai satu pasukan tanpa sebarang perbalahan dalaman bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.
Menurut beliau, setiap jentera di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu bekerja lebih keras kerana saingan kali ini dijangka sengit dan tidak boleh dipandang mudah.
Dalam ucapannya, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat turut menyindir tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang bertanding di DUN Linggi pada PRN kali ini selepas sebelum ini menyandang kerusi DUN Sikamat.
“Malam ini kita dapat lihat sokongan yang begitu kuat di Paroi dan Sikamat. Ada orang yang memilih untuk meninggalkan Sikamat dan pergi bertanding di Linggi. Mungkin beliau tidak sanggup berdepan dengan gelombang sokongan rakyat kepada BN di kawasan ini.
“Tidak mengapa, kita akan tetap memberikan tentangan hebat kepadanya di Linggi nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN-16 Negeri Sembilan di Parkir Stadium Paroi, pada malam tadi.
Selain menyeru kemenangan dalam pilihan raya, Mohamad turut menggariskan aspirasi BN untuk membawa Negeri Sembilan kembali menjadi antara negeri yang pesat membangun serta mampu menyaingi pencapaian negeri jiran seperti Melaka.
Beliau berkata, negeri itu memerlukan suntikan baharu dalam pembangunan infrastruktur, pelaburan dan sektor industri supaya pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
“Kita mahu Negeri Sembilan bangkit semula dan mampu bersaing dengan Melaka. Pembangunan fizikal mesti bergerak seiring dengan kebajikan rakyat. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada program kecil, sebaliknya perlu menarik lebih banyak pelaburan yang memberi impak jangka panjang,” katanya.
Pada masa sama, Tok Mat turut meminta Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat kepada seluruh jentera akar umbi supaya memperhebat gerak kerja kempen menjelang hari pengundian.
Beliau menegaskan kesediaannya untuk mengetuai jentera BN di peringkat negeri bagi memastikan setiap strategi yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan sehingga tamat pilihan raya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ahmad Zahid, barisan presiden parti komponen BN serta kepimpinan utama gabungan itu di peringkat negeri dan nasional.










