‘Bekas PM Sahkan Video Intim Sandakan 99% Tulen, Kenapa Belum Selesai?’ – Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini mempersoalkan status siasatan video intim di Sandakan pada 2019, selepas mendakwa seorang bekas Perdana Menteri pernah mendedahkan kepadanya bahawa laporan forensik mengesahkan rakaman itu adalah 99 peratus tulen.

Beliau berkata maklumat tersebut diperolehnya ketika bertanyakan mengenai kesahihan video berkenaan kepada bekas pemimpin negara itu pada Julai 2024.

“Maksudnya kalau Julai 2024 sudah tahu video itu tulen, macam mana hari ini (kes) tidak selesai lagi sedangkan menteri mengatakan bahawa ada segala jenis kelengkapan teknologi yang optimum untuk menyelesaikan kes siasatan yang kompleks?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Wan Saiful turut mempersoalkan tindakan lanjut pihak berkuasa terhadap individu yang pernah membuat pengakuan terbuka mengenai penglibatan dalam video tersebut sekiranya rakaman berkenaan disahkan palsu.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan berhubung kes rakaman video tersebut bagi mengesan rakaman asal.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 292, Seksyen 377B dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan mendapatkan rakaman asal serta semua peranti atau peralatan yang digunakan untuk merakam aksi berkenaan. PDRM menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil tanpa mengambil kira kedudukan atau fahaman politik mana-mana pihak,” katanya.

Mengulas mengenai isu membawa pulang individu dikehendaki termasuk menantu kepada seorang bekas Perdana Menteri, Shamsul Anuar berkata kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata pihak SPRM telah pun mengeluarkan waran tangkap terhadap individu terbabit berhubung kes yang sedang disiasat oleh agensi pencegahan rasuah berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles