PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan telah menjalankan naziran terhadap sebuah komuniti antarabangsa di Forest City, Johor pada 14 Julai lalu susulan isu membabitkan sebuah Network School, dengan pemeriksaan melibatkan seramai 266 warga asing dari 40 negara.
Operasi itu dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, semakan awal mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap syarat kemasukan ke negara serta peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan undang-undang berkaitan.
Beliau menjelaskan setiap kemasukan warga asing ke Malaysia tertakluk kepada undang-undang imigresen yang berkuat kuasa, dengan pemeriksaan di pintu masuk negara dibuat berdasarkan dokumen perjalanan, semakan pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia ketika pemeriksaan dijalankan.
Menurutnya, JIM juga akan menjalankan siasatan terhadap sebarang perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berhubung penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan.
Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen atau penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Katanya, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut berkata JIM akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara.










