STR, SARA Sekarang Jauh Lebih Tinggi Dari Zaman Najib ​

​KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa jumlah keseluruhan dana pembiayaan bantuan sosial dan kebajikan rakyat di bawah pentadbiran hari ini adalah jauh lebih besar berbanding era pentadbiran terdahulu, termasuk semasa zaman Datuk Seri Najib Razak.

​Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun struktur harga pasaran minyak global mengalami ketidaktentuan ekoran krisis geopolitik antarabangsa, penumpuan utama kerajaan adalah memastikan pulangan tunai terus kepada poket rakyat melalui jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh.

​Kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab soalan tambahan daripada blok pembangkang yang mempersoalkan mengapa kos runcit minyak pasaran tanpa subsidi mencatat perbezaan ketara berbanding ketika zaman pentadbiran ‘Bossku’.

​”Dari segi dana pembiayaan keseluruhannya, itu sekarang jauh lebih tinggi, Yang Berhormat. Saya baca tadi, sebahagiannya tentang Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kemudian petroleum RON95 dan juga BUDI Diesel. Keseluruhannya bantuan itu jauh lebih tinggi daripada sebelumnya, kenyataan,” jelas beliau di Dewan Rakyat hari ini.

​Sebelum itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengemukakan soalan tambahan dengan membangkitkan perbandingan era pentadbiran Najib di mana harga minyak mentah Brent pernah mencecah sehingga USD139 setong, namun harga pasaran runcit bagi diesel tidak pernah melonjak setinggi pasaran tanpa subsidi hari ini.

​Membalas perkara berkenaan, Anwar tidak menafikan wujudnya perbezaan landskap ekonomi, namun beliau mengingatkan Dewan Rakyat mengenai lonjakan drastik komitmen fiskal yang disalurkan semula oleh kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

​Beliau memperincikan, bagi tahun 2026 sahaja, kerajaan telah membuat penambahan khas ke atas peruntukan STR dan SARA menjadi RM15 bilion untuk memanfaatkan lebih 9 juta penerima keseluruhan.

​”Tapi saya tidak mahu bandingkan, keadaan itu mungkin berbeza dan pendapatan negara pun jauh lebih berkurangan daripada sekarang. Yang soal sekarang ini maknanya kalau berbeza ini saya sebutkan,” tambah beliau lagi.

​Di samping bantuan langsung dan mekanisme penstabilan harga runcit melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, Anwar turut menyatakan bahawa agensi kebajikan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah ditingkatkan peruntukannya kepada RM3.1 bilion demi mendepani kesan inflasi rantaian global.

BBerkaitan

Latest articles