Onn Hafiz Angkat Sumpah MB Johor Penggal Kedua

JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua selepas Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu kembali diberi mandat menerajui pentadbiran negeri susulan kejayaan BN membentuk kerajaan dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi baki lapan kerusi.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Johor berlangsung di Istana Bukit Serene pada Ahad di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Majlis berkenaan turut disaksikan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Terdahulu, Onn Hafiz tiba di Istana Bukit Serene kira-kira jam 3.40 petang bagi menghadiri istiadat berkenaan, sebelum keberangkatan tiba Tunku Mahkota Ismail pada jam 4.25 petang.

Selesai majlis, kenderaan rasmi yang membawa Menteri Besar meninggalkan pekarangan istana sekitar jam 4.50 petang.

Sebelum beredar, Pengerusi BN Johor itu sempat membuka tingkap kenderaannya dan melambaikan tangan kepada pengamal media yang menunggu di luar Istana Bukit Serene sejak awal petang bagi membuat liputan.

Pelantikan itu menandakan kali kedua Onn Hafiz memegang jawatan Menteri Besar Johor selepas pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022 susulan kemenangan BN dalam PRN Johor ketika itu.

Pada pelantikan terdahulu, beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang kini bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong, menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad.

BBerkaitan

Latest articles