JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, Pengerusi BN Johor itu berkata, mandat yang diterima menjadi pembakar semangat buat beliau bersama barisan pentadbiran negeri untuk terus bekerja keras dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Terima kasih di atas sokongan anda. Ia adalah pemangkin semangat untuk saya dan pasukan saya untuk terus berkhidmat dengan sepenuh hati demi Johor tercinta.
“Semoga dipermudahkan segala urusan. Kepada Allah kita berserah,” katanya.
Pada PRN Johor semalam, BN mencatat kemenangan bergaya apabila memperoleh majoriti selesa sekali gus berjaya mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Onn Hafiz yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap turut mencatat kemenangan besar apabila menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nur Hafiz Roslan.
Beliau memperoleh 20,382 undi dengan majoriti 15,375 selepas pencabarnya meraih 5,007 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Machap, Mohd Izzul Helmi Ahmad sejurus selesai proses penjumlahan undi di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam.










