Didesak Letak Jawatan Susulan PRN Johor, Ini Respon Kor Ming

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan beliau sedia meletakkan jawatan sebagai anggota jemaah Menteri sekiranya sistem kehakiman negara digadai demi membebaskan individu yang telah didapati bersalah oleh mahkamah.

Beliau berkata, kesediaan itu bukan beralaskan isu peribadi mahupun desakan politik susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya ia merupakan soal prinsip utama yang dipegangnya sebagai seorang pengamal undang-undang.

Membidas desakan pihak tertentu yang mahu beliau meletak jawatan ekoran keputusan PRN tersebut, Kor Ming meminta semua pihak meneliti semula kenyataan asal beliau dalam wawancara eksklusif bersama sebuah akhbar tempatan, Oriental Daily.

“Pendirian saya sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya adalah konsisten sepanjang masa iaitu kewibawaan sistem kehakiman negara perlu dipertahankan.

“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku (kehakiman digadai), demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Naib Presiden DAP memetik kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai rujukan utama komponen kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Beliau menegaskan, sekiranya pelaku yang menyebabkan negara menanggung bebanan hutang yang amat besar dilepaskan begitu sahaja, ia merupakan isyarat runtuhnya sistem keadilan negara.

Dalam perkembangan sama, Kor Ming turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRN Johor yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan BN bahawa kemenangan besar tersebut merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul dengan penuh integriti.

“Walaupun kami (Pakatan Harapan) tidak menang kali ini, besok masih ada. Pakatan Harapan tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dan berbakti kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles