PASIR GUDANG: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook membidas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menipu berhubung isu pengecualian cukai Kolej Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Anthony menjelaskan, Kementerian Kewangan sama sekali tidak pernah membatalkan pengecualian cukai berkenaan, sebaliknya hanya menetapkan tempoh awal selama tiga tahun untuk tujuan pengauditan akaun dan pematuhan syarat.
Bagaimanapun, atas dasar mengutamakan agenda pendidikan, beliau sendiri telah membawa perkara itu ke mesyuarat Kabinet untuk berbincang terus dengan Perdana Menteri bagi memohon pelanjutan tempoh.
”Ini Wee Ka Siong oh cakap Anwar Ibrahim tipu. Sudah bagi 10 tahun pengecualian cukai nak tarik balik. Saya cakap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pertamanya Kementerian Kewangan tak batalkan. Dia bagi tiga tahun dulu, lepas itu nak tengok akaun ada audit atau tidak, ada syarat-syarat dipenuhi atau tidak.
”Tapi dalam Kabinet saya cakap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim… kita dah umum, lebih baik kita bagi sahaja 10 tahun. Ini isu pendidikan, ini bukan isu politik.
”Datuk Seri Anwar Ibrahim dengar sahaja, bincang, tak sampai 10 minit kita bincang dia kata, ‘no problem’, kita keluluskan 10 tahun untuk TAR UMT!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada program Grand Finale Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang, di sini, malam tadi.
Menteri Pengangkutan itu turut membandingkan pendekatan Kerajaan Madani yang mesra perbincangan dengan kaedah politik lama MCA sebelum ini yang gemar menghebahkan proses rayuan secara berulang kali.
Mengulas lanjut, Anthony menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terjejas memandangkan institusi berkenaan tidak berasaskan keuntungan.
”Universiti ini bukan untuk keuntungan, dia ada ambil fee (yuran) daripada pelajar. Kita kecualikan cukai untuk yuran-yuran pelajar ini.
”Sebab itu saya kata, Anwar Ibrahim ini seorang demokrat, dia mendengar. Bukannya DAP yang mengawal beliau, tetapi apa-apa isu kita bawa bincang bersama demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.










