PASIR GUDANG: DAP tidak pernah menentang kepimpinan Melayu, sebaliknya hanya mahukan negara diterajui oleh pemimpin Melayu yang berprinsip, berintegriti dan bebas daripada skandal rasuah.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, atas prinsip itulah parti tersebut memberikan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sebagai pemimpin berwibawa serta komited mengangkat martabat Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, sokongan terhadap Anwar tidak seharusnya disalah tafsir sebagai penentangan terhadap orang Melayu kerana DAP sentiasa menyokong kepimpinan Melayu yang bersih, amanah dan berpegang kepada prinsip.
“Hari ini saya sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya bukan lawan Melayu, saya sokong orang Melayu. Tetapi kita mahu Melayu yang berprinsip.
“Kita tidak mahu Melayu yang ada RM2.6 bilion dalam akaun. Kita tidak mahu Melayu yang kleptokrat. Kita mahu pemimpin Melayu yang berprinsip dan mampu mengangkat nama Malaysia. Melayu itu ialah Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Grand Finale Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang, malam tadi.
Dalam pada itu, Anthony turut menepis dakwaan kononnya DAP menguasai pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau mengawal Perdana Menteri.
Sebaliknya, beliau menyifatkan Anwar sebagai seorang pemimpin demokratik yang sentiasa bersedia mendengar pandangan pelbagai pihak serta mengutamakan perbincangan dalam setiap proses membuat keputusan demi kepentingan rakyat berbilang kaum.
Anthony turut menegaskan bahawa kepimpinan politik negara akan terus diterajui oleh pemimpin Melayu, justeru isu tersebut tidak sepatutnya dimanipulasi sebagai bahan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.
Beliau turut menggesa semua pihak meninggalkan politik berasaskan kaum dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara masyarakat Melayu, Cina, India serta rakyat Sabah dan Sarawak demi membangunkan negara.
“Sudah-sudahlah dengan politik perkauman. Hari ini kita mahu Melayu, Cina, India bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak berganding bahu untuk mengangkat semula negara ini,” katanya.










