PASIR GUDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri merupakan faktor penting untuk memacu pembangunan Johor serta memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi negeri itu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Johor memiliki pelbagai kelebihan strategik termasuk pembangunan pusat data dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), namun beliau menegaskan manfaat daripada kemajuan tersebut perlu dinikmati seluruh rakyat, bukan hanya kelompok tertentu.
Menurutnya, Johor mempunyai sejarah yang cemerlang dan segala prasyarat untuk muncul sebagai negeri yang lebih maju, namun ia memerlukan kepimpinan yang berani, tegas serta mampu menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Grand Finale Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang.
Dalam ucapannya, Anwar turut mengkritik pihak yang masih memainkan sentimen perkauman sebagai modal politik, termasuk menyerang parti komponen PH, DAP.
Beliau menegaskan bahawa selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat seharusnya meninggalkan politik kebencian dan momokan berasaskan kaum kerana ia tidak lagi sesuai dalam usaha membangunkan negara.
“DAP sering dituduh sebagai anti-Bahasa Melayu dan anti-Raja. Saya tegaskan, lebih baik DAP menjadi rakan yang komited memerangi rasuah serta membantu rakyat daripada mereka yang sibuk mencuri harta negara,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut menyentuh kejayaan rundingan antarabangsa bersama Presiden Turkmenistan yang menurutnya memberi manfaat besar kepada negara menerusi Petronas.
Beliau berkata, hasil rundingan itu membolehkan Petronas memperoleh hak eksklusif bagi carigali gas di Turkmenistan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang memiliki rizab gas terbesar di dunia.
Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan kejayaan sedemikian hanya dapat dicapai melalui pentadbiran yang telus dan bebas daripada amalan rasuah.
“Sebab itu penting memilih kerajaan yang bersih dan tidak mencuri. Jika pimpinan terdahulu, mungkin ada yang meminta komisen untuk kepentingan sendiri. Saya tidak akan berbuat demikian kerana kita mahu mentadbir negara dengan penuh maruah,” katanya.










