‘Hidup 1MDB!’ Laungan Sinis Mohd Sany, Dakwa Rakyat Masih Tanggung Hutang RM51 Bil

PASIR GUDANG: “Hidup 1MDB! Hidup 1MDB!”

Demikian laungan sinis Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ketika membidas pihak yang didakwanya terlibat dalam penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara itu.

Menurut beliau, rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung beban hutang berjumlah RM51 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sedangkan penyelewengan tersebut didakwanya dilakukan oleh pihak tertentu.

“Duit 1MDB sebanyak RM51 bilion itu, siapa yang tanggung sekarang? Kita yang kena tanggung.

“Yang sakau, yang mentekedarah, yang mencuri itu mereka, tetapi akhirnya rakyat juga yang terpaksa memikul beban hutang tersebut,” katanya ketika berucap pada program Grand Finale Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang, malam ini.

Dalam ucapannya, Mohd Sany turut menggesa pengundi Johor membuat pilihan yang disifatkannya tepat pada hari pengundian bagi mengelakkan individu yang dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana itu kembali berkuasa.

“Kalau esok tidak pangkah Pakatan Harapan (PH), siapa yang akan menang? Sebab itu kita perlu bulatkan tekad untuk memastikan PH memperoleh kemenangan,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehingga kini tiada pemimpin PH dikaitkan dengan amalan menyeleweng atau mencuri wang rakyat.

“Bukan mahu mendabik dada, tetapi setakat malam ini tidak ada seorang pun pimpinan PH yang dikaitkan dengan amalan sakau, rompak, ragut atau mencuri duit rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Sany sekali lagi menyeru pengundi supaya memberikan sokongan kepada PH bagi memastikan kestabilan politik serta tadbir urus negara yang telus terus dipertahankan.

BBerkaitan

Latest articles