JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Johor, termasuk mereka yang berada di perantauan, supaya pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok bagi menentukan hala tuju masa depan negeri itu.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pilihan raya kali ini merupakan medan terbaik untuk rakyat menolak politik yang disifatkannya muflis idea, selain menolak pihak yang menggunakan sentimen kebencian kaum dan agama serta mempertahankan individu yang didakwa mencuri wang rakyat demi meraih sokongan.
“Esok adalah hari yang amat penting untuk menentukan babak seterusnya dalam perjalanan masa depan Johor dan rakyatnya.
“Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan, agar pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa serta benar-benar bekerja demi kemajuan negeri ini.
“Pilihan raya ini juga peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, selain menolak politik yang muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum serta agama demi meraih undi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Tempoh rasmi berkempen bagi PRN Johor yang bermula sejak hari penamaan calon pada 27 Jun lalu akan berakhir tepat jam 11.59 malam ini.
Seramai 2.7 juta pengundi dijadual menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu bagi memilih 56 wakil rakyat yang akan membentuk kerajaan negeri baharu.
Dalam pada itu, Anwar berkata, PH telah membuktikan keupayaan mentadbir menerusi Kerajaan MADANI dengan melaksanakan pelbagai reformasi yang disifatkannya memberi manfaat kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, kerajaan turut berjaya menarik lebih banyak pelaburan, meningkatkan kadar gaji, mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih bermaruah serta menyelesaikan pelbagai isu dan projek yang sekian lama tertangguh.
Anwar turut mendakwa imej Malaysia kini kembali pulih dan mendapat penghormatan serta keyakinan masyarakat antarabangsa.
Katanya, semangat reformasi dan tadbir urus yang baik itu juga diyakini mampu membawa Johor ke tahap pembangunan yang lebih tinggi.
“Justeru, dengan penuh rendah hati dan hormat, saya memohon saudara dan saudari memberikan kepercayaan kepada PH untuk memimpin Johor dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua.
“Semoga Allah SWT memberkati Johor, mengurniakan negeri ini kepimpinan yang amanah serta membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera buat seluruh bangsa Johor,” katanya.










