Fahmi Penerima Tunggal Gelaran Datuk Seri Pulau Pinang, Dahului 1,221 Penerima Darjah Kebesaran

GEORGE TOWN: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menjadi penerima tunggal Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ sempena Sambutan Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan mengetuai senarai keseluruhan 1,221 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang akan dikurniakan dalam istiadat bermula esok.

Selain Fahmi, seramai 19 individu menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Antara penerimanya ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd, Datuk Abdul Halim Mohammad; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Loo Lee Lian; Pengarah Urusan Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd, D Murugan; Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn Bhd, Saiful Nizam Mohd Yusoff; serta Pengerusi M Summit Group, Moh See Eng.

Sementara itu, sembilan individu dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN), manakala 72 lagi menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), yang masing-masing membawa gelaran ‘Datuk’.

Antara penerima DMPN ialah bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, dan Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Amran Hafiz Affifudin.

Bagi penerima DSPN pula, antara nama yang tersenarai ialah pelakon filem terkenal yang juga pengarah serta penulis skrip Cathay-Keris Film Productions, Nordin Ahmad; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim; Pengerusi Bank Rakyat, Mohd Irwan Mohd Mubarak; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Abdul Latiff Abd Aziz; Pengarah Projek SRS Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Sdn Bhd, Adil Putra Ahmad; serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri, Mohamed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, seramai 92 individu menerima Darjah Johan Negeri, diikuti 31 penerima Bintang Cemerlang Negeri, 194 penerima Pingat Kelakuan Terpuji, 328 penerima Pingat Jasa Kebaktian, 463 penerima Pingat Jasa Masyarakat dan 12 penerima Pingat Bakti Setia.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Law Choo Kiang, berkata Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri akan berlangsung selama empat hari iaitu bermula esok serta pada 13, 14 dan 15 Julai.

Beliau berkata, daripada keseluruhan penerima tahun ini, seramai 101 individu dikurniakan darjah kebesaran, manakala baki 1,120 lagi menerima bintang dan pingat kehormatan.

Menurutnya, penerima terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usahawan tempatan serta anggota badan sukarelawan.

BBerkaitan

Latest articles