KUALA LUMPUR: Pekerja yang tidak mahu meneruskan caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) boleh membuat pilihan keluar secara dalam talian bermula Isnin ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja hanya perlu mengisi borang perakuan pelepasan liabiliti sebagai pengesahan rasmi bahawa mereka memilih untuk tidak lagi dilindungi di bawah skim tersebut.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu bekerja selepas seseorang pekerja memilih keluar daripada skim berkenaan.
Beliau menjelaskan, sebaik sahaja perakuan diterima, Perkeso dan majikan tidak lagi mempunyai tanggungjawab untuk memberi perlindungan atau membayar sebarang faedah bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja.
“Pekerja juga perlu memaklumkan keputusan itu kepada majikan atau bahagian sumber manusia (HR) kerana caruman skim ini dibayar oleh majikan,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Perkeso, hari ini.
Mohammed Azman berkata, pilihan keluar akan berkuat kuasa serta-merta selepas perakuan diterima. Justeru, pekerja yang membuat pilihan pada bulan ini tidak lagi perlu mencarum bagi bulan Julai.
Bagaimanapun, beliau menegaskan caruman yang telah dibayar sebelum ini tidak akan dipulangkan kerana perlindungan Lindung 24 Jam telah pun berkuat kuasa sejak 1 Jun lalu.
Katanya, pekerja yang berubah fikiran masih boleh menyertai semula skim tersebut pada bila-bila masa.
Sehingga 9 Julai, seramai 207,000 majikan telah mendaftarkan kira-kira 2.27 juta pekerja di bawah Lindung 24 Jam, melibatkan 1.92 juta pekerja tempatan dan 307,000 pekerja asing, dengan jumlah kutipan caruman mencecah RM58 juta.
Dalam tempoh sama, Perkeso menerima 1,056 tuntutan di bawah skim itu, bersamaan purata 27 tuntutan setiap hari, manakala hampir RM2 juta faedah telah dibayar kepada pencarum yang layak.
Mohammed Azman turut menggalakkan pekerja tempatan untuk terus mengekalkan caruman kerana kadar 0.75 peratus atau sekitar 30 hingga 50 sen sehari mampu memberi perlindungan kewangan kepada pekerja dan keluarga sekiranya ditimpa musibah di luar waktu bekerja.
Beliau turut memaklumkan Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia akan menilai semula mekanisme pelaksanaan serta kemapanan dana Lindung 24 Jam menjelang penghujung tahun ini susulan perubahan dasar daripada skim mandatori kepada skim pilihan.










