KUALA LUMPUR: Pelakon drama kepolisan, Shanorbiah Shamsir Alam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan memasukkan tiga jenis dadah ke dalam badannya, Selasa lalu.
Wanita berusia 40 tahun itu didakwa selepas ujian air kencing mendapati terdapat dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dalam badannya ketika berada di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 7.30 pagi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, selain pengawasan antara dua hingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM4,000, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira rayuan pihak pembelaan yang memaklumkan tertuduh mempunyai pendapatan tidak tetap serta menanggung ibu bapa warga emas.
Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.










