JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didakwa menggunakan poster serta kain rentang memaparkan wajah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, penggunaan imej kedua-dua tokoh itu disifatkan sebagai taktik propaganda yang tidak wajar kerana mereka langsung tidak terlibat dalam kempen pilihan raya berkenaan.
Menurut beliau, tindakan berkenaan dipercayai bertujuan membentuk persepsi negatif terhadap Barisan Nasional (BN), selain menghasut pengundi menjelang hari pengundian.
“Kita hendak memilih kerajaan negeri, jadi fokuslah kepada isu dan masa depan Johor. Sebaliknya, mereka membawa isu lain serta mengaitkan individu yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan PRN Johor.
“Ini adalah cubaan melakukan propaganda dengan mengaitkan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah. Ia jelas menunjukkan sikap terdesak pihak tertentu,” katanya.
Shahaniza, yang juga Ketua Penerangan UMNO Pahang, berkata budaya berkempen seharusnya berteraskan idea, rekod pentadbiran dan tawaran kepada rakyat, bukannya memainkan sentimen yang boleh mencetuskan prasangka dalam kalangan pengundi.
Beliau turut menyifatkan tindakan menggantung poster dan kain rentang tersebut di lokasi terbuka yang menjadi laluan orang ramai sebagai melampaui batas etika berkempen.
“Tidak kiralah siapa yang melakukannya, saya fikir tindakan tegas perlu diambil supaya perkara ini tidak berlarutan. Mereka tidak boleh melakukan provokasi yang pada pandangan saya sudah melampaui batas etika berkempen,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap SPR menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kempen PRN berlangsung secara adil dan beretika.
Dalam masa sama, Shahaniza menegaskan bahawa sekiranya BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri Johor sekali lagi, pentadbiran negeri tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk menentukan soal pembebasan Najib.
Semalam, Rosmah menerusi satu kenyataan turut mengecam tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang didakwa menggunakan wajah serta imejnya dalam bahan kempen PRN Johor.
Menurut Rosmah, Kor Ming yang juga seorang menteri sepatutnya mempamerkan politik yang lebih matang dan tidak menggunakan bahan yang disifatkannya sebagai fitnah serta manipulasi untuk meraih sokongan.










