KEMPAS: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa tindakan pihak pembangkang mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah taktik politik yang bertujuan mengelirukan pengundi.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, kain rentang yang memaparkan dakwaan kononnya kemenangan BN akan membawa kepada pembebasan Najib bukan dipasang oleh jentera BN, sebaliknya didakwa dilakukan oleh pihak lawan sendiri.
Khairy berkata, isu melibatkan Najib dan skandal 1MDB sengaja dimainkan semula kerana pembangkang sudah ketandusan idea untuk menarik sokongan rakyat menjelang hari pengundian.
“Kenapa nak kaitkan dengan Datuk Seri Najib? Kalau saya jahat, tuan-tuan dan puan-puan, saya akan cakap, ‘Ah, ini Pakatan Harapan mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong.’
“Sebab kalau Datuk Seri Najib dibebaskan pun, ia hanya atas ehsan daripada Yang di-Pertuan Agong, pengampunan diraja. Menang kalah Barisan Nasional di Johor tidak ada kesan langsung kepada pengampunan Datuk Seri Najib. Ini Yang di-Pertuan Agong sahaja yang tentukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana di Kempas, malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Khairy mendakwa pihak lawan kembali membangkitkan isu yang pernah menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum 2018 kerana gagal menawarkan naratif baharu kepada pengundi.
Menurutnya, keadaan itu juga didorong rasa cemburu terhadap projek-projek pembangunan yang dimulakan ketika pentadbiran Najib dan masih memberi manfaat sehingga hari ini.
Beliau memberi contoh pelancaran projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menurutnya menerima pelbagai reaksi di media sosial.
“PMX (Anwar) pergi lancarkan LRT3, pergi potong reben… Keluar berita. Saya bila baca berita, saya bukan baca berita sangat, saya baca komen.
“Mereka sakit hati sebab 98 peratus daripada komen LRT3 bukan terima kasih PMX, tetapi terima kasih Datuk Seri Najib, terima kasih Bossku. Jealous! Jealous sebab tak ada hasil!”, dakwanya.
Sehubungan itu, Khairy menggesa pengundi Johor supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan yang disifatkannya sebagai politik menakut-nakutkan rakyat, sebaliknya membuat pilihan berdasarkan rekod dan prestasi pada hari pengundian nanti.










