Anwar Kini Terdesak, Sedar ‘Gelombang Biru’ Makin Kuat Di Johor – KJ

KEMPAS: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa kekerapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Johor menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) mencerminkan kebimbangan terhadap kebangkitan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Menurut Khairy, tindakan Anwar hadir beberapa kali ke Johor untuk berkempen menunjukkan Perdana Menteri menyedari wujudnya ‘gelombang biru’ yang semakin memihak kepada BN.

“Saya tak pernah tengok pilihan raya negeri di mana Perdana Menteri datang dua tiga kali. Hari ini Datuk Seri Anwar menerima lawatan Perdana Menteri Thailand, tetapi beliau tinggalkan program itu dan datang ke Johor pada malam ini.

“Kenapa? Sebab Perdana Menteri sangat terdesak. Dia dah tahu Johor ada gelombang biru,” katanya ketika berucap pada program Timbalan Perdana Menteri Bersama Generasi Kempas di Taman Chempaka, malam ini.

Turut hadir ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Datuk Ramlee Bohani.

Dalam ucapannya, Khairy turut mendakwa Anwar sebelum ini tidak bersetuju dengan keputusan BN untuk bertanding secara solo pada PRN Johor kali ini.

Menurutnya, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dikatakan mahu BN meneruskan kerjasama pilihan raya dengan gabungan itu, namun keputusan akhirnya dibuat berdasarkan kehendak akar umbi di Johor.

“Yang saya tahu, Datuk Seri Anwar tidak suka Barisan Nasional bertanding solo di Johor. Kalau boleh, beliau mahu kita bergabung dengan PH.

“Saya percaya Datuk Seri Zahid menerima tekanan berhubung perkara itu, tetapi disebabkan kehendak rakyat Johor yang mahu BN bertanding secara solo, keputusan itu akhirnya dikekalkan,” dakwanya.

Pada masa sama, Khairy menggesa penyokong Perikatan Nasional (PN), termasuk PAS dan Bersatu, supaya memberikan sokongan kepada calon BN di kawasan yang tidak ditandingi gabungan berkenaan, termasuk DUN Kempas dan Perling.

“Kalau dah tak ada calon Perikatan Nasional, marilah sokong calon Barisan Nasional.

“Penyokong PAS dan Bersatu, takkan nak beri undi kepada Pakatan Harapan? Tok Guru dah beritahu, kalau tiada calon Perikatan Nasional, undilah calon Barisan Nasional,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles