KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming susulan penyebaran satu poster yang memaparkan imej beliau yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan dikaitkan dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi hantaran di Facebook, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mengecam penggunaan imejnya dalam poster yang dimuat naik Nga di platform X, sambil menyifatkannya sebagai satu bentuk propaganda pilihan raya yang tidak bertanggungjawab.
Poster berkenaan memaparkan wajah Rosmah bersama ayat berbunyi: “Amaran untuk semua pengundi luar PRN Johor! ‘If you don’t come back, I’ll be back’.”
Rosmah berkata, Kementerian Komunikasi perlu mengambil tindakan terhadap Nga kerana mendakwa kandungan tersebut bersifat palsu dan mengelirukan.
Menurutnya, sekiranya orang awam boleh disiasat kerana menyebarkan maklumat tidak benar, seorang menteri juga tidak seharusnya dikecualikan daripada tindakan undang-undang.
“Beliau seorang menteri. Beliau sepatutnya berkelakuan seperti seorang menteri, bukannya menyebarkan bahan palsu dan mengelirukan seperti seorang tentera siber parti yang terdesak.
“Saya tidak akan berdiam diri. Politik tetap politik, tetapi menggunakan imej orang lain untuk menyebarkan pembohongan adalah tindakan yang pengecut, kotor dan terdesak,” katanya.
Rosmah menegaskan tindakan menggunakan imej individu tanpa kebenaran, khususnya menerusi teknologi AI, tidak wajar dijadikan alat dalam kempen politik dan berharap tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.










