Muda Tegas Tolak Kerjasama Dengan PN, Fokus Menang Bersama Blok Progresif

JOHOR BAHRU: Parti Muda menegaskan tidak akan menjalin sebarang kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memastikan calon-calon Blok Progresif memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata keutamaan Muda ketika ini adalah menawarkan agenda yang berpaksikan kepentingan rakyat menerusi dasar ekonomi yang lebih inklusif serta reformasi institusi, bukannya membentuk pakatan politik dengan mana-mana gabungan lain.

Menurut beliau, antara fokus utama parti ialah pelaksanaan Kontrak Muda Johor, yang menggariskan komitmen terhadap pengukuhan ekonomi inklusif, pembaharuan institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor serta usaha menangani isu perubahan iklim dan pemeliharaan alam sekitar.

Katanya, calon-calon Muda turut membawa pelbagai isu dasar yang kurang diberi perhatian oleh parti-parti besar, termasuk berkaitan pembangunan pusat data dan cabaran perubahan iklim yang semakin mendesak.

“Dalam tempoh akhir kempen ini, kami akan menggerakkan seluruh tenaga dan usaha untuk memastikan kemenangan calon Muda serta blok progresif,” katanya ketika mengulas spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama dengan PN.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap pandangan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, yang sebelum ini menyatakan keyakinan PN masih berpeluang membentuk kerajaan negeri sekiranya mendapat sokongan Muda.

Azmin, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Bersatu, dilaporkan berkata sebanyak 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi dimenangi berdasarkan analisis keputusan pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, beberapa hari sebelum itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui PN berdepan cabaran untuk membentuk kerajaan negeri, namun berharap gabungan tersebut mampu memenangi sejumlah kerusi bagi memainkan peranan sebagai blok semak dan imbang.

Pada PRN Johor kali ini, Bersatu bertanding di 16 kerusi, PAS di 11 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIRA) di lima kerusi dan Pejuang di satu kerusi, manakala Muda meletakkan calon di empat kerusi.

Sebelum ini, Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan pembentukan Blok Progresif sebagai platform kerjasama politik bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles