KUALA LANGAT: Seorang remaja yang disyaki menikam rakan sekolahnya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting akan dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting esok bagi permohonan reman.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan polis meneruskan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam pada bahagian badan dan bahu dalam kejadian yang berlaku di kawasan sekolah berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek yang juga berusia 15 tahun dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan suspek telah ditahan sejurus kejadian, manakala mangsa kini menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu serta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.










