Tok Mat: Berhemah Dalam Kempen PRN, Jangan Sampai Jejas Kerajaan Pusat

JOHOR BAHRU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan, menggesa semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya mengamalkan kempen secara matang dan berhemah tanpa mencetuskan ketegangan yang boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, persaingan politik dan kritikan sepanjang tempoh berkempen merupakan lumrah dalam pilihan raya, namun ia seharusnya tertumpu kepada dasar serta fakta, bukannya serangan terhadap peribadi mana-mana individu.

Menurutnya, parti-parti yang bertanding perlu menyedari bahawa mereka masih bersama-sama mentadbir negara menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, justeru setiap kenyataan dan tindakan sepanjang kempen perlu mempunyai batas.

“Kritikan dalam pilihan raya memang perkara biasa, termasuk usik-mengusik sesama lawan politik. Namun jangan sampai menjadi serangan peribadi.

“Perbahasan mengenai dasar atau parti tidak menjadi masalah, tetapi jangan sampai menjejaskan hubungan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan kerana kita masih memikul tanggungjawab menguruskan negara bersama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program makan tengah hari bersama pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Ulu Tiram, pada semalam.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kestabilan politik merupakan aset penting negara kerana ia menjadi antara faktor utama yang menarik keyakinan pelabur serta pelancong asing ke Malaysia.

Katanya, suasana politik yang aman telah menyumbang kepada prestasi positif sektor pelancongan negara apabila Malaysia menerima kira-kira 42 juta pelancong tahun lalu, sekali gus mencatatkan antara jumlah tertinggi di rantau ASEAN.

“Pelabur dan pelancong memilih Malaysia kerana negara ini dilihat aman dan stabil. Jangan kerana pilihan raya, kita mengorbankan kestabilan yang telah dibina dan akhirnya merugikan negara sendiri,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa PRN Johor mempunyai kaitan dengan usaha membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohamad menolak tanggapan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Beliau menegaskan pilihan raya itu hanya bertujuan memilih kerajaan negeri, bukan membentuk Kerajaan Persekutuan, sekali gus tidak mempunyai kaitan dengan proses pengampunan terhadap Najib.

“Kalau ini pilihan raya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, mungkin orang boleh membuat pelbagai andaian. Tetapi ini hanyalah pilihan raya negeri. Apa kuasa Menteri Besar untuk membebaskan Datuk Seri Najib?” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa urusan pengampunan adalah kuasa mutlak Sultan Ibrahim melalui Lembaga Pengampunan, justeru semua pihak perlu menghormati proses tersebut dan tidak mempolitikkan atau memperkecilkan bidang kuasa institusi berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles