TANGKAK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan dasar pembangunan perumahan kerajaan Johor dengan menegaskan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memberi perhatian seimbang kepada semua golongan masyarakat, termasuk B40 dan asnaf.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kerajaan negeri bukan sahaja membangunkan kawasan perumahan untuk golongan M40 dan T20, malah turut memperluaskan pembinaan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah.
Menurutnya, kerajaan Johor turut menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membina rumah secara percuma khusus untuk golongan asnaf sebagai sebahagian daripada usaha memastikan tiada kumpulan yang tercicir daripada menikmati kediaman selesa.
“Saya melihat pembangunan perumahan di Johor dilaksanakan secara seimbang. Ia bukan hanya tertumpu kepada kawasan M40 dan T20, tetapi turut merangkumi pembinaan rumah mampu milik.
“Malah, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta bagi membina rumah tanpa bayaran khusus untuk golongan asnaf. Ini merupakan satu langkah yang sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Cina di Medan Selera Tangkak Jaya, pada Ahad.
Ahmad Zahid turut berkata, komitmen itu turut diterjemahkan menerusi manifesto BN yang menjanjikan peruntukan lebih besar daripada hasil baharu kerajaan negeri bagi memperbanyakkan pembinaan rumah untuk golongan B40 di Johor.
Kenyataan beliau dibuat sebagai mengulas kritikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini membangkitkan isu kelembapan pembangunan rumah rakyat di negeri berkenaan.
Ketika berucap pada program Temu Anwar Johor Ke Depan di Muar, Anwar menegaskan dasar pembangunan Johor perlu lebih mengutamakan keperluan golongan berpendapatan rendah dan tidak hanya memfokuskan pembangunan untuk kelompok berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan harga rumah di Johor Bahru yang disifatkan semakin membebankan, sekali gus menyukarkan golongan muda dan keluarga baharu untuk memiliki kediaman sendiri.
Ahmad Zahid bagaimanapun berpandangan pendekatan kerajaan negeri ketika ini sudah berada pada landasan yang tepat dengan menyeimbangkan pembangunan perumahan mengikut keperluan setiap lapisan masyarakat.










