KOTA TINGGI: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 membawa manfaat yang lebih besar kepada negeri itu, meskipun Datuk Hasni Mohammad merupakan calon rasmi BN bagi jawatan berkenaan ketika itu.
Berucap pada program anjuran Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Zahid berkata Hasni telah memimpin BN menghadapi PRN Johor sebagai ‘poster boy’ gabungan itu dan mengakui bekas Menteri Besar Johor berkenaan merupakan seorang pemimpin yang berdedikasi serta banyak merancang pembangunan untuk negeri itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelantikan Menteri Besar bukan ditentukan oleh parti semata-mata, sebaliknya tertakluk kepada perkenan Sultan Johor sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Hasni adalah seorang pemimpin yang baik dan saya mengiktiraf sumbangannya. Namun, atas perkenan Tuanku, Onn Hafiz telah dipilih sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.
Dalam ucapannya, Zahid turut menggunakan analogi pembelian secara dalam talian bagi menggambarkan situasi berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu ibarat seseorang membuat pesanan untuk satu barangan, namun menerima barangan lain yang ternyata lebih baik daripada apa yang dipesan.
“Dengan teknologi hari ini, kita boleh membeli secara dalam talian. Saya pesan satu barang, tetapi yang sampai barang lain. Rupanya barang yang diterima itu lebih baik daripada yang saya pesan,” katanya, merujuk kepada pelantikan Onn Hafiz.
Hasni sebelum ini diumumkan sebagai ‘poster boy’ BN pada PRN Johor 2022 dan dijangka meneruskan tugas sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.
BN kemudian mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya berkenaan, namun jawatan Menteri Besar akhirnya disandang oleh Onn Hafiz.
Zahid berkata, sepanjang menerajui pentadbiran negeri, Onn Hafiz telah membuktikan keupayaannya memimpin Johor dengan baik serta membawa prestasi yang memberangsangkan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa walaupun kesinambungan pentadbiran merupakan faktor penting, pelantikan Menteri Besar tetap perlu menghormati kuasa dan budi bicara Sultan Johor selaras dengan peruntukan Perlembagaan.










