KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, memberi bayangan bakal mewarnai saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, termasuk tidak menolak kemungkinan berdepan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.
Tei, atau nama sebenarnya Tei Jiaan Cheing, berkata beliau kini berada di peringkat akhir membuat keputusan selepas menerima tawaran daripada sebuah parti politik untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.
“Saya memang menerima tawaran untuk bertanding dan kini sedang mempertimbangkannya. Namun, keputusannya hampir dimuktamadkan.
“Tambahan pula, ramai rakan serta pengikut saya di media sosial menggalakkan saya bertanding dalam PRN kali ini,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Walaupun enggan mendedahkan parti yang menawarkan tiket kepadanya, Tei mengakui DUN Chennah menjadi kawasan yang disasarkan, sekali gus berpotensi menyaksikan pertembungan dengan Loke.
Beliau berkata, hasrat untuk menyertai politik berpunca daripada kekecewaan terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang didakwanya gagal memenuhi janji kepada rakyat.
Tei turut menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini dan selama ini bergerak secara bebas dalam memperjuangkan isu-isu yang dibawanya.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, PRN Negeri Sembilan mungkin menjadi pentas pertama beliau bertanding sebagai calon politik.
Sebelum ini, Loke mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Chennah yang disandangnya sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pada PRU13, beliau memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,098 undi selepas memperoleh 5,128 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN).
Dalam PRN Negeri Sembilan 2023 pula, Loke sekali lagi berjaya mengekalkan penguasaannya di Chennah apabila meraih 5,888 undi dengan majoriti 2,200 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN).










