KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) menegaskan pembayaran berjumlah RM571.9 juta bagi perolehan sistem peluru berpandu anti-kapal Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibuat berdasarkan kemajuan kerja yang telah disahkan, bukannya sebagai bayaran pendahuluan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika pembayaran dilaksanakan, keseluruhan sistem NSM keluaran Norway itu telah siap dibangunkan, melepasi semua ujian yang ditetapkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berada dalam keadaan sedia untuk dihantar ke Malaysia.
Beliau menjelaskan pembayaran tersebut dibuat mengikut syarat yang dipersetujui dalam kontrak serta disokong oleh kemajuan fizikal projek yang telah disahkan.
“Kementerian tidak membuat pembayaran pendahuluan tanpa kemajuan kerja. Bayaran dibuat selaras dengan terma kontrak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PN-Pasir Gudang) yang mempersoalkan tindakan kerajaan membuat pembayaran penuh bernilai RM571.9 juta lebih awal.
Mengulas isu pembatalan lesen eksport oleh kerajaan Norway, Mohamed Khaled turut menafikan dakwaan bahawa kontrak berkenaan tidak mengandungi mekanisme untuk melindungi kepentingan kerajaan Malaysia.
Menurut beliau, perjanjian tersebut mempunyai klausa khusus yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan kontrak atau pelanggaran obligasi oleh pihak berkaitan.
Katanya lagi, pembatalan lesen eksport itu merupakan keadaan di luar kawalan kerajaan Malaysia dan syarikat pembekal, namun kementerian sedang menggunakan peruntukan yang tersedia dalam kontrak bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.
“Antara tindakan yang sedang diambil termasuk mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat serta menuntut ganti rugi berkaitan,” katanya.










