JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendakwa kerajaan Persekutuan telah beberapa kali menangguhkan pelancaran Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), meskipun dokumen berkenaan sudah siap.
Menurut beliau, pelan induk itu sepatutnya diumumkan tanpa sebarang kelewatan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Johor terus diperkukuh, selain memberi keyakinan kepada pelabur terhadap hala tuju pembangunan negeri.
Menerusi hantaran di platform X, Onn Hafiz berkata pengumuman pelan tersebut pada asalnya dijadualkan dibuat pada penghujung 2025 sebelum ditunda kepada 30 Mac 2026.
Bagaimanapun, katanya, tarikh berkenaan sekali lagi ditangguhkan tanpa sebarang pelancaran dilakukan.
“Pelan tersebut pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun 2025. Selepas itu, tarikh 30 Mac 2026 pula diumumkan. Kini, ia ditangguhkan sekali lagi,” katanya.
JS-SEZ merupakan projek kerjasama strategik antara Johor dan Singapura yang diwujudkan bagi memperkukuh integrasi ekonomi rentas sempadan, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta merancakkan pembangunan sektor berimpak tinggi di selatan Johor.
Kawasan yang terlibat di bawah zon ekonomi khas itu meliputi Iskandar Malaysia, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) serta Desaru, dengan keluasan keseluruhan mencecah 357,128 hektar.










