JOHOR BAHRU: PAS menolak dakwaan kononnya parti itu mengelak daripada berdepan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya menegaskan setiap keputusan meletakkan calon dibuat berdasarkan analisis politik dan potensi kemenangan.
Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu tidak pernah gentar untuk bertanding menentang DAP, malah membuktikan pendirian tersebut apabila meletakkan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah yang kini disandang DAP.
Menurutnya, pemilihan kerusi yang ditandingi dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peluang kemenangan, kekuatan calon serta komposisi pengundi.
“Kita membuat analisis mengapa bertanding dan mengapa tidak bertanding di sesuatu kawasan. Calon diletakkan di kerusi yang pada perkiraan mampu memberi tentangan yang sewajarnya.
“Kita juga sedar cabaran besar untuk bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu, jadi semua keputusan dibuat berdasarkan kebolehmenangan serta kesesuaian calon,” katanya ketika ditemui semasa membantu kempen calon PN bagi DUN Maharani, Anuar Hayan.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook yang mendakwa PAS tidak berani berdepan DAP secara langsung pada PRN Johor dan sebaliknya bergantung kepada Barisan Nasional (BN) sebagai “proksi”.
Loke turut mendakwa keputusan PAS tidak meletakkan calon di beberapa kerusi yang ditandingi DAP merupakan sebahagian daripada strategi untuk menyatukan undi bagi membantu calon BN, khususnya daripada MCA.
Bagaimanapun, Ahmad Samsuri menegaskan dakwaan itu hanyalah tanggapan DAP dan PAS mempunyai strategi politik serta kekuatan tersendiri dalam menghadapi pilihan raya.
Untuk rekod, DUN Jementah menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon PN, Saifullah Abdul Wahab, calon BN, See Ann Giap, dan penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Ng Kor Sim.
Pada pilihan raya lalu, Ng berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 714 undi.










