KUALA LUMPUR: MCA mendesak kerajaan memberikan penjelasan secara terbuka berhubung dakwaan pelantikan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sebagai penasihat di Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), sambil menegaskan isu itu tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan berkata, kerajaan perlu tampil menjelaskan perkara tersebut bagi mengelakkan timbul persepsi negatif terhadap komitmennya dalam memperkukuh integriti serta reformasi institusi.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan hadir ketika pelbagai pertubuhan masyarakat sivil masih mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan “mafia korporat” yang didakwa mempunyai kaitan dengan Azam.
Menurutnya, sebarang pelantikan membabitkan individu yang masih menjadi perhatian awam sewajarnya disertai dengan penjelasan menyeluruh supaya tidak menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.
“Jika benar pelantikan itu dibuat tanpa siasatan bebas atau penjelasan yang telus, rakyat berhak mempersoalkan sejauh mana kerajaan benar-benar serius mempertahankan prinsip akauntabiliti dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Mike berkata, usaha memerangi rasuah tidak akan diyakini sekiranya kerajaan dilihat mengamalkan pendekatan yang berbeza mengikut individu atau keadaan.
Sebaliknya, katanya, prinsip integriti mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa sebarang pengecualian.
Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada penjelasan rasmi diberikan berhubung dakwaan pelantikan tersebut.
Katanya, sekiranya laporan itu tepat, kerajaan perlu mendedahkan asas pertimbangan, mekanisme pemilihan serta faktor yang membawa kepada keputusan melantik Azam sebagai penasihat NFCC.
“Berdiam diri bukan penyelesaian. Sikap itu hanya mengundang lebih banyak spekulasi dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan juga perlu menjelaskan perkembangan tuntutan penubuhan RCI, status siasatan bebas yang diminta pelbagai pihak serta alasan mengapa perkara itu masih belum diberikan perhatian.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh sekadar mengulangi komitmen terhadap reformasi institusi, sebaliknya perlu membuktikannya melalui tindakan yang telus dan boleh dipertanggungjawabkan.
Justeru, Pemuda MCA menggesa Perdana Menteri segera mengesahkan sama ada Azam benar-benar memegang jawatan sebagai penasihat NFCC dan, jika benar, menjelaskan secara terperinci proses pelantikan serta rasional di sebalik keputusan itu.
“Jika dakwaan tersebut tidak benar, kerajaan juga perlu tampil memperbetulkan keadaan dan pada masa sama menjelaskan mengapa desakan supaya siasatan bebas dijalankan masih belum dipenuhi.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran. Ketelusan dan akauntabiliti bukan sekadar slogan, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang jelas dan boleh dinilai oleh umum,” katanya.










