MP PKR Desak Wakil Rakyat Nyata Pendirian Isy RCI Dakwaan ‘Mafia Korporat’

KUALA LUMPUR: Lima Ahli Parlimen PKR menggesa semua wakil rakyat tampil menyatakan pendirian secara terbuka sama ada menyokong atau menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal yang didakwa membabitkan ‘mafia korporat’ serta dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Menurut Wong Chen, mereka menyokong sepenuhnya tuntutan dikemukakan 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini menggesa penubuhan RCI berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, semua Ahli Parlimen perlu menyatakan pendirian secara jelas, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, bagi membuktikan komitmen masing-masing terhadap prinsip integriti dan akauntabiliti.

“Kami menggesa 51 NGO berkenaan mendesak semua Ahli Parlimen memberikan pendirian terbuka mengenai isu ini. Ini adalah masa terbaik untuk menguji komitmen mereka terhadap integriti dan akauntabiliti,” katanya ketika membacakan kenyataan bersama pada sidang media di Parlimen, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Wong Chen turut mencadangkan supaya gabungan 51 NGO itu melancarkan kempen ‘name and shame’ dengan memberikan tempoh tujuh hari kepada semua Ahli Parlimen untuk menyatakan sama ada mereka menyokong atau menolak cadangan penubuhan RCI.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan sedia ada, RCI boleh ditubuhkan atas nasihat Perdana Menteri, dan sekiranya mendapat sokongan lebih 51 Ahli Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai asas untuk mengesyorkan penubuhannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, Sekretariat RCINOW yang mewakili 51 NGO mengemukakan memorandum mencadangkan RCI itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama beberapa bekas hakim, ahli akademik dan wakil masyarakat sivil.

Menurut sekretariat berkenaan, komposisi itu penting bagi memastikan suruhanjaya yang ditubuhkan bebas daripada sebarang konflik kepentingan serta mengelakkan campur tangan politik dalam siasatan.

Dalam pada itu, Wong Chen turut menggesa Kerajaan Madani mendedahkan kepada umum hasil siasatan yang telah dijalankan berhubung dakwaan melibatkan ‘mafia korporat’ dan isu pegangan saham yang dikaitkan dengan Azam.

Katanya, setakat ini difahamkan dua siasatan telah dijalankan, namun hasil dapatan masing-masing masih belum diumumkan kepada orang ramai.

BBerkaitan

Latest articles