MUAR: Kepimpinan UMNO Johor menolak dakwaan bahawa kedudukan Barisan Nasional (BN) di negeri itu semakin lemah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya menegaskan hanya dua daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi berdepan isu terpencil.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keadaan di kebanyakan kawasan berada dalam keadaan terkawal dan gerak kerja jentera parti terus berjalan seperti dirancang.
Beliau memaklumkan, kemelut yang berlaku di DUN Rengit sudah diselesaikan sepenuhnya, manakala situasi di DUN Layang-Layang masih dipantau secara berterusan bagi memastikan kempen calon BN tidak terjejas.
“Jika dinilai secara keseluruhan, hanya sekitar tiga peratus sahaja isu yang timbul sepanjang kempen, iaitu membabitkan Rengit dan Layang-Layang. Baki 54 kerusi lagi berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah.
“Di Rengit, isu telah pun selesai. Bagi Layang-Layang pula, kita sentiasa memantau keadaan dan membantu jentera supaya calon BN daripada MCA dapat memperoleh kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program kempen calon BN, Datuk Zulkurnain Kamisan, di Parit Jawa, hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas dakwaan Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong yang menyifatkan sokongan terhadap BN Johor semakin merosot susulan perkembangan politik semasa sehingga menyukarkan gabungan berkenaan mencapai sasaran memenangi lebih 40 kerusi pada PRN, 11 Julai ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata keyakinannya terhadap kekuatan BN di Johor adalah berdasarkan tinjauan dan penglibatan langsung beliau dalam siri kempen di pelbagai kawasan di seluruh negeri.
Menurutnya, beliau telah turun padang di beberapa DUN termasuk Bukit Kepong, Bukit Pasir, Rengit, Kukup, Benut dan Pulai Sebatang, selain meninjau perjalanan kempen di Maharani, Simpang Jeram, Bukit Naning serta Sri Medan.
Beliau turut mengingatkan seluruh jentera BN supaya tidak leka dan terus memperhebat usaha mendekati pengundi sepanjang baki tempoh berkempen agar sokongan terhadap gabungan itu terus diperkukuhkan sehingga hari pengundian.










