Muhyiddin: Bersatu Tak Ikut Cara PAS, Biar Ahli Tentukan Undi Di Kerusi Tanpa Calon PN

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengeluarkan arahan khusus kepada penyokong Bersatu supaya mengundi mana-mana parti lain di kerusi yang tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan ahli dan penyokong parti untuk menentukan pilihan masing-masing, berbeza dengan pendirian PAS yang meminta ahlinya menyokong calon Barisan Nasional (BN) di kerusi tanpa calon PN.

Menurut beliau, terdapat penyokong yang tidak bersetuju dengan parti tertentu sehingga memilih untuk tidak mengundi apabila PN tidak bertanding di sesuatu kawasan.

“Ada kalanya mereka enggan mengundi kerana tidak menyukai parti yang bertanding. Jika mereka menganggap parti itu sebagai ‘UmDAP’, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengarahkan mereka memberikan sokongan kerana setiap keputusan mempunyai asas dan pertimbangannya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Sembang Santai di Kampung Jayor bersama calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal.

Muhyiddin menjelaskan, pendekatan itu diambil bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penyokong PN, khususnya ahli Bersatu, sepanjang tempoh kempen PRN Johor.

Katanya, strategi gabungan itu adalah memberi tumpuan kepada usaha meraih sokongan sebanyak mungkin tanpa mengelirukan pengundi dengan arahan yang bercanggah mengenai parti yang perlu disokong di kawasan tertentu.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan ahli serta penyokong parti itu supaya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor, 11 Julai depan.

Beliau menegaskan arahan tersebut dibuat bagi memastikan undi tidak beralih kepada Pakatan Harapan (PH), sekali gus mengukuhkan sokongan kepada calon BN di kawasan berkenaan.

Susulan kenyataan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap saranan kepimpinan PAS dapat diterjemahkan oleh penyokong parti itu di kesemua 56 kerusi DUN yang ditandingi BN pada pilihan raya berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles