KUALA LUMPUR: PAS hari ini seolah-olah mengesahkan bahawa sekutunya sebelum ini, Bersatu sudah tidak lagi ‘wujud’ dalam radar politik mereka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Isyarat jelas itu dizahirkan menerusi keputusan Mesyuarat Khas PAS Pusat hari ini yang memilih untuk menggerakkan jentera secara total di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, tanpa menyebut langsung nama atau penglibatan Bersatu, susulan tindakan PAS memutuskan kerjasama dengan parti terbabit sebelum ini.
Tindakan PAS melancarkan kempen dengan slogan baharu “Jom Jaga Johor” secara bersendirian dilihat sebagai langkah berani untuk membuktikan kepada BERSATU bahawa mereka mampu hidup tanpa perlu menumpang populariti parti serpihan berkenaan.
Malah, ketiadaan nama BERSATU dalam lima ketetapan rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini, memberi gambaran sinis bahawa parti itu kini seakan-akan sudah kehilangan nilai strategik dan tidak lagi relevan di mata kepimpinan tertinggi PAS.
Paling menarik perhatian ialah apabila PAS secara terbuka menyeru para pengundi untuk tidak mengundi Pakatan Harapan (PH), termasuk di kawasan yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH.
Arahan unilateral ini secara tidak langsung meletakkan status kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Bersatu di Johor dalam keadaan ‘terawang-awang’ tanpa sokongan padu daripada jentera akar umbi hijau yang terkenal dengan disiplin tinggi.
PAS juga turut menyentuh mengenai persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan sebagai satu lagi tamparan psikologi buat Bersatu.
Langkah ini membayangkan PAS sudah pun mengatur strategi mereka jauh ke hadapan secara solo, meninggalkan Bersatu terkapar-kapar meratapi nasib hubungan mereka yang telah putus di tengah jalan.










