KUALA LUMPUR: PAS menetapkan lima ketetapan utama sebagai strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menggerakkan sepenuhnya jentera parti di 11 kerusi yang ditandingi serta menyeru pengundi menolak Pakatan Harapan (PH).
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas PAS Pusat yang berlangsung di Ibu Pejabat PAS, hari ini, dan dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menerusi satu kenyataan, PAS menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di Johor sebagai agenda utama sepanjang kempen PRN kali ini.
Bagi memastikan usaha itu berjaya, parti akan menggerakkan seluruh jentera pilihan raya di 11 kerusi yang ditandingi selain mempergiatkan program turun padang bagi menyantuni seramai mungkin pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi slogan “Jom Jaga Johor”.
Dalam masa sama, PAS menyeru pengundi supaya tidak memberikan sokongan kepada PH, termasuk di kawasan yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH.
Selain memberi tumpuan kepada PRN Johor, PAS turut memaklumkan bahawa persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan digerakkan lebih awal bagi memastikan jentera parti berada dalam keadaan siap siaga.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata segala keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan telah dirumuskan menerusi kenyataan media rasmi parti dan beliau tidak berhasrat mengulas lanjut mengenainya.










