Anwar Lancar BAKAT MADANI, Sasar 25,000 Rakyat Nikmati Latihan, Pekerjaan Berkualiti Menjelang 2027

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini melancarkan Inisiatif BAKAT MADANI sebagai usaha menyeluruh memperkukuh pembangunan modal insan negara dengan sasaran memberi manfaat kepada 25,000 individu menerusi latihan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti dan mobiliti sosial yang lebih baik menjelang pertengahan 2027.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melancarkan inisiatif itu yang menghimpunkan kekuatan PETRONAS, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi membangunkan bakat tempatan selaras keperluan ekonomi masa hadapan.

Melalui BAKAT MADANI, kerajaan memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu meningkatkan kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC serta PETRONAS, memperluaskan peluang pekerjaan merentas sektor strategik negara dan memperkukuh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama lebih erat dengan industri.

Inisiatif berteraskan prinsip Modal Ihsan itu turut membuka lebih banyak ruang kepada golongan rentan, termasuk isi rumah B40, asnaf, individu yang memerlukan peluang kedua serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengikuti latihan, meningkatkan kemahiran dan memperoleh pekerjaan berkualiti.

Antara sektor yang menjadi tumpuan ialah industri semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju yang dikenal pasti mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.

Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat menyertai usaha pembangunan bakat negara, kerajaan akan memperkenalkan potongan cukai khas kepada syarikat yang menyediakan latihan di bawah BAKAT MADANI.

Insentif baharu itu turut menambah baik skim kebolehpasaran sedia ada dengan meluaskan manfaat kepada lepasan TVET selain meningkatkan kadar elaun minimum bagi memastikan pelatih menerima ganjaran yang lebih adil dan kompetitif. Perincian pelaksanaannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata BAKAT MADANI diwujudkan bagi menghubungkan bakat yang terdapat di seluruh negara dengan peluang pekerjaan yang tersedia.

Menurut beliau, pelaburan dalam pembangunan modal insan bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, malah mengukuhkan asas pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan.

Dalam perkembangan sama, pelbagai program pembangunan bakat sedia ada turut diperkasakan menerusi inisiatif berkenaan.

PETRONAS bersama Majlis Petroleum Malaysia (MPRC) dan Malaysian Oil, Gas & Energy Services Council (MOGSC) memperkenalkan transformasi program VISTA kepada Vista i-Plus, iaitu model latihan TVET bersepadu yang membabitkan Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Advanced Technology Training Centre (ADTEC) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Sementara itu, Khazanah Nasional Berhad melalui rangkaian GLIC dan GLC menjalinkan kerjasama dengan 23 institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyediakan latihan industri, pensijilan teknikal serta pendedahan kepada keperluan sebenar industri untuk mahasiswa.

Majlis pelancaran BAKAT MADANI dihadiri lebih 700 peserta yang terdiri daripada barisan menteri, ketua setiausaha kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan PETRONAS serta penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.

Kementerian Kewangan memaklumkan BAKAT MADANI berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan bakat rakyat dengan peluang ekonomi masa depan, selain menggesa lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan, pemain industri dan institusi latihan menyertai inisiatif berkenaan bagi memperkukuh pembangunan bakat negara.

BBerkaitan

Latest articles