KUALA LUMPUR: Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam hari ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan memperkukuhkan sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, efisien dan bersepadu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembukaan laluan baharu itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pengguna, malah dijangka membawa pelbagai manfaat kepada jutaan penduduk yang tinggal di sepanjang jajaran LRT3.
Menurut beliau, perkhidmatan itu akan menawarkan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai, sekali gus membantu orang ramai menjimatkan masa serta kos perjalanan harian.
“Selain itu, pengoperasian LRT3 juga mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap penggunaan kenderaan persendirian,” katanya ketika merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam, hari ini.
Anwar berkata, projek berkenaan turut dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang bakal menarik lebih banyak pelaburan baharu serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sekitar.
Beliau berkata, pembangunan itu bukan sahaja akan memperluaskan peluang perniagaan, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing kawasan yang dihubungkan oleh rangkaian LRT3.
Tambah beliau, sistem pengangkutan yang lebih cekap juga akan memudahkan akses rakyat kepada peluang pekerjaan, institusi pendidikan, kemudahan kesihatan dan pelbagai perkhidmatan penting lain.
“Kesalinghubungan yang lebih baik ini akan meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan saksama,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI akan terus komited melaksanakan agenda pembangunan yang berpaksikan keperluan rakyat, di samping memperkukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Beliau berkata, setiap projek pembangunan yang dilaksanakan perlu memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat agar manfaat kemajuan negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat, bukan sahaja pada masa ini malah untuk generasi akan datang.










