MUAR: Polis menahan enam pelajar lelaki yang disyaki terbabit dalam kes buli dan pemerasan terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah asrama di daerah ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek yang merupakan pelajar sekolah berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dalam operasi di sekitar Muar dan Alor Gajah, Melaka antara pukul 1.30 pagi hingga 2.12 pagi.
Menurut beliau, tindakan itu diambil susulan laporan polis yang diterima kira-kira pukul 5 petang semalam berhubung kejadian berkenaan.
Siasatan awal mendapati mangsa dipukul di bahagian dada selain dipaksa menyerahkan wang kepada beberapa pelajar senior. Mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian mata selepas dihantuk menggunakan kepala oleh suspek.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami trauma dan tekanan emosi sehingga mengambil keputusan untuk berhenti daripada meneruskan persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, siasatan mendapati insiden berkenaan dipercayai berlaku sekitar Mei lalu selepas mangsa dikatakan menghisap vape yang diperoleh daripada seorang pelajar lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan kerana menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada mangsa, selain Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Dalam masa sama, polis turut menjalankan siasatan terhadap warden asrama dan pihak sekolah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menyiasat sama ada wujud unsur pengabaian dalam kes tersebut.
Beliau berkata, semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, manakala permohonan reman ke atas mereka telah diluluskan selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Polis turut menggesa mana-mana pelajar lain yang pernah menjadi mangsa buli oleh suspek sama supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“Polis memandang serius sebarang kejadian buli di institusi pendidikan dan akan memastikan siasatan dijalankan secara telus, adil serta menyeluruh dari semua aspek,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.
Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan menerusi talian hotline 019-2792095 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di talian 07-2212999.










