BATU PAHAT: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO supaya menghentikan polemik berhubung kenyataan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, sebaliknya memperkukuhkan gerak kerja bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kesemua 56 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden UMNO itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan Mohd Puad berhubung pemilihan calon BN merupakan pandangan peribadi yang perlu dihormati dan tidak wajar dijadikan isu sehingga mencetuskan perbalahan dalam parti.
Menurutnya, setiap individu berhak mengemukakan pandangan, namun perbezaan pendapat tidak seharusnya mengganggu fokus parti ketika kempen pilihan raya sedang berlangsung.
“Saya melihat apa yang diperkatakan Dr Mohd Puad adalah pandangan peribadi beliau. Kita hormati pendapat itu kerana beliau juga sahabat kita.
“Dalam keadaan sekarang, lebih baik kita hentikan perdebatan ini supaya ia tidak berlarutan dan menimbulkan kesan yang tidak baik kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN Sri Gading di Parit Sulong, hari ini.
Terdahulu, Mohd Puad menerusi hantaran di Facebook mendakwa senarai calon BN bagi PRN Johor didominasi calon lama selain menyifatkannya sebagai tidak menampilkan pembaharuan serta kurang memenuhi aspirasi golongan muda.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut mempersoalkan pemilihan beberapa individu yang pernah tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sambil menyifatkan barisan calon kali ini sebagai tidak cukup meyakinkan.
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya terus diperbesarkan kerana hanya akan mengundang tindak balas daripada pelbagai pihak dan akhirnya merugikan parti.
Beliau turut mengingatkan bahawa budaya saling menyerang sesama sendiri hanya akan membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan.
“Jika satu kenyataan dibalas dengan kenyataan lain, ia akan berlarutan tanpa penghujung. Saya tidak mahu perkara yang boleh mengaibkan mana-mana pihak menjadi bahan pertikaian, lebih-lebih lagi sesama rakan dalam parti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan seluruh kepimpinan dan jentera UMNO supaya tidak melayan sebarang provokasi atau mengeluarkan kenyataan balas sekiranya isu berkenaan terus dibangkitkan.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berharap semua pihak yang mendakwa menyokong BN membuktikan komitmen mereka dengan membantu jentera dan calon parti sepanjang tempoh berkempen.
“Sokongan bukan sekadar ungkapan. Jika benar mahu melihat BN menang, buktikan dengan tindakan membantu semua 56 calon yang bertanding di Johor. Jangan hanya bercakap tanpa disusuli usaha,” katanya.










