KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melontarkan kritikan keras terhadap senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan menyifatkan barisan tersebut sebagai calon “kitar semula”, biasa-biasa serta gagal mencerminkan pembaharuan yang diharapkan pengundi, khususnya golongan muda.
Menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mendakwa pemilihan calon kali ini tidak menampilkan perubahan, sebaliknya dipenuhi individu yang mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan parti.
“Kenapa? Sebab ia parti anak beranak (calon dipilih di kalangan kroni dan partnermain golf). Ada yang baru sebulan kembali masuk UMNO sudah boleh jadi calon dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.
Menurut beliau, UMNO yang kini berusia 80 tahun sewajarnya membuka lebih banyak ruang kepada pemimpin generasi keempat seperti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun sebahagian besar calon yang dipilih masih terdiri daripada pemimpin generasi terdahulu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan aspirasi golongan muda semakin terpinggir dan gagal memenuhi harapan mereka terhadap pembaharuan dalam parti.
Mohd Puad turut mempertikaikan pencalonan beberapa pemimpin berpengalaman termasuk Datuk Abdul Halim Suleiman di DUN Tiram yang pernah tewas pada PRN 2018, selain Datuk Seri Dr Adham Baba di DUN Pasir Raja serta Datuk Samsolbari Jamali di DUN Semarang.
Beliau juga menyentuh pencalonan Alwiyah Talib di DUN Endau yang sebelum ini merupakan bekas ADUN Bersatu selama dua penggal sebelum menyertai UMNO beberapa bulan lalu.
Selain itu, Mohd Puad mempersoalkan tindakan parti memilih calon lain di DUN Bukit Naning walaupun mendakwa terdapat calon berkelulusan doktor falsafah (PhD), Datuk Fuad Tukirin, yang diketepikan.
Menurutnya lagi, hanya seorang wakil Puteri UMNO dicalonkan pada PRN kali ini, sekali gus menyebabkan rasa tidak puas hati dalam sayap parti itu dan berisiko menjejaskan sokongan pengundi muda terhadap UMNO.
Pada 25 Jun lalu, Mohd Puad mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dikawal pihak istana.
Bagaimanapun, tindakan itu menerima kritikan daripada beberapa pemimpin UMNO yang mendakwa rasa tidak puas hati sebenar Mohd Puad berpunca daripada kegagalan anaknya dipilih sebagai calon pada PRN Johor kali ini.










